Bengkel Asas Membuat Baja Organik anjuran Angkasa

Image

Bengkel Asas Membuat Baja Organik telah diadakan di Harvard Suasana Hotel di Bedong, Sungai Petani, Kedah pada 5 Julai – 7 Julai 2012.

Dalam bengkel tersebut yang telah dihadiri oleh 30 orang peserta, kami telah didedahkan dengan banyak perkara berkaitan pertanian asli (Natural Farming) dan baja organik (Organic Fertilizer).

Antara panel penceramah yang telah hadir:

  1. Haji Ahmad Kamal Mohd Ali
  2. En Mohd Haron Hussain
  3. Dr Saharuddin Abu Samah – Pemilik Ladang Agro Marin, Melaka
  4. En Nazrul Azam Man – Pemilik Qadhijah Natural Farm, Parit Buntar

Bengkel ini dianjurkan oleh Angkasa dengan kerjasama Koperasi Belia Islam (KBI). Alhamdulillah, perjalanan program baik dan memberi input yang sangat berguna kepada peserta.

Peserta telah didedahkan secara amali (practical) bagaimana menghasilkan

  1. Baja dari buangan dapur (kitchen waste)
  2. IMO (Indigenous Micro Organism)
  3. Penghalau serangga organik (Organic Pest Repellant)
  4. Baja dari ikan (Fish Amino Acid – FAA)
  5. Baja kompos (Compost) – apa itu kompos?

Aku akan bercerita pasal baja-baja di atas dalam entry yang lain.

Selain itu, peserta juga telah dibawa melawat ke 3 tapak ladang atau kebun. Ketiga-tiga tapak tersebut mempunyai modus operandi yang berbeza dengan matlamat yang sama; kembali kepada alam nyata.

  1. Bendang Padi Organik, Kampung Lintang, Belantik, Mukim Soh, Sik, Kedah
  2. IMO Livestok – Projek Ayam Organik, Sungai Petani, Kedah
  3. Qadhijah Natural Farm, Parit Buntar, Perak

Tapak pertama menumpukan perhatian dalam penghasilan padi secara organik dan murah. Mereka menggunakan kaedah System of Rice Intensification (SRI). Dalam sistem ini, tiada baja kimia dan racun serangga kimia digunakan. Untuk lebih jelas tentang sistem ini, cuba lihat SRI.

Tapak kedua pula tentang penternakan ayam secara organik. IMO Livestock bukan sahaja menggunakan IMO sebagai minuman ayam, malah turut menghasilkan makanan ayam sendiri. Tampak jelas yang pengurusan ayam organik ini lebih mudah dan lebih murah. Apa yang lebih menarik, tak nampak tahi ayam, betul ke mereka ni bela ayam. 🙂 Lalat pun seolah-olah tiada. Kelihatan juga rumah-rumah kampung di sekeliling sangat rapat dengan ladang. Bagus.

Tapak ketiga adalah tapak yang telah lama masyhur rasanya. Kepunyaan En Nazrul Azman Man, Qadhijah Natural Farm telah beroperasi hampir 11 tahun. Beliau menggunakan konsep pertanian asli sepenuhnya dengan menggunakan baja yang dihasilkan dari persekitaran kebun. Beliau telah berjaya menanam strawberry  dan bunga matahari dari USA. Beliau juga ada kedai yang menjual biji benih, baja kompos dan lain-lain kelengkapan pertanian asli. Bagus juga tu.

Peserta juga diberitahu tentang mengapa dan bagaimana pertanian organik ini semakin menjadi perhatian. Untuk lebih jelas tentang hal tersebut, mungkin anda boleh meneliti tulisan Hugh Warwick yang bertajuk Cuba’s Organic Revolution yang diterbitkan dalam web Third World Network.

Selain itu juga, pihak KBI juga telah menggariskan 3 dasar utama mengapa Bengkel Asas Membuat Baja Organik ini diadakan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat.

  1. Kejaminan Makanan – untuk menjamin bekalan, sekurang-kurangnya untuk menampung keluarga.
  2. Kedaulatan Makanan – tidak berubah sifat semulajadinya oleh unsur-unsur tidak semulajadi.
  3. Keselamatan Makanan – bebas dari bahan toksik terutama yang terlarut.

Aku suka dengan dasar-dasar ini. Mudah dan boleh dilaksanakan. Mula-mula aku pun tak faham. Selepas diteliti balik, memang itu pun yang perlu kita jaga.

Selepas ini aku akan cuba cari maklumat pasal dasar-dasar di atas dan post kat sini.

Alhamdulillah.