Selepas Aidilfitri

Tapak Rumah Singgah

28 Ogos 2012

Syukur ke hadrat Ilalhi dengan sambutan Aidilfitri yang sangat meriah. Kesibukan Aidilfitri menenangkan jiwa, berkunjung dan bertemu wajah kegumbiraan membuka mata kepada rahmat Allah.

Selama 2 minggu, kekusutan tentang kebun dilupakan sementara, walaupun belum ada yang menjadi, kami yang masih baru belajar REDHA atas pemberian Dia.

Aku ke kebun pada hari Selasa, jam 3 petang, 28 Ogos 2012. Tujuan utama adalah untuk menilai perkembangan, baik dari segi struktur pengurusan mahupun pencapaian. Selain itu, aku juga ingin mendapatkan bekalan air bukit yang disediakan oleh JKKK tempatan yang memerlukan perbincangan dengan pengerusinya.

Hasilnya:

Perkembangan –

  1. Tapak rumah telah diukur dan pembinaan akan dilaksanakan dalam masa sebulan.
  2. Dana tidak mencukupi.
  3. Bekalan air bukit dapat dilaksanakan dalam masa 2 minggu.
  4. Pokok-pokok yang telah disemai perlu diteliti balik, sawi tak tumbuh, bayam terbantut, bendi menjadi tapi tidak 100%.
  5. Dalam keadaan hujan lebat, air bertakung di tepi batas.

Penilaian –

  1. Keadaan pengurusan agak kelam kabut disebabkan oleh kurang pengalaman.
  2. Tiada orang yang menunggu di kebun atau dapat hadir setiap hari disebabkan oleh berniaga, jarak dan perbelanjaan.
  3. Penyediaan batas perlu diperkemas dan perlukan tanah digembur lebih kerap.
  4. Tanaman perlu disemai dahulu, baja dan sungkupan perlu digunakan dengan lebih efektif, tanah pula perlu digembur dan diadun dengan sekam padi atau sabut kelapa bersama dengan kompos.
  5. Perlukan mekanisme untuk menjana pendapatan dalam masa 4 bulan.

Penyelesaian –

  1. Rumah untuk singgah perlu disiapkan secepat mungkin, supaya Team Pengurusan boleh bergilir-gilir untuk bermalam di sana mengawasi perkembangan kebun. Kehadiran adalah perkara wajib, syurga pun ada orang jaga, kan!
  2. Perlukan sedikit dana untuk menampung perbelanjaan selama 4 bulan.
  3. Pengurusan semaian, akan dilakukan di rumah supaya dapat diselia dengan lebih baik sebelum ke kebun.
  4. Sekam padi dan sabut kelapa akan disediakan sebanyak mungkin untuk sungkupan dan digaul bersama tanah. Persediaan batas perlu lebih sensitif kerana lapisan bawah tanah adalah tanah liat.
  5. Laluan lori ke kebun perlu direndahkan, diperkemas dan laluan merentasi parit perlu dipersiap.
  6. Untuk menjana pendapatan dalam masa 4 bulan, kami merasakan penternakan ayam kampung adalah jawapannya. Selain itu, penanaman tumbuhan jangka sederhana perlu dilaksanakan segera.

Untuk mencapai jalan penyelasaian di atas, aku rasa sedikit suntikan dana amatlah penting. Namun begitu, pengurusan perlu diperkemas lebih lagi.Fungsi dan tugas sekarang lebih jelas, perbincangan tentang perancangan belum lagi pada tahap optimum, perancangan perlu lebih detail dengan melibatkan masa dan objektif serta teknik perlaksanaan. InsyaAllah kami sudah ke arah itu.

Buat masa sekarang, kami hanya buat apa yang termampu. Insya Allah, dengan izin Allah, kami akan dirikan bangsal/reban ayam kampung yang boleh menampung 500 ekor ayam, ayam akan dibeli sedikit demi sedikit dari orang-orang kampung. Kos amat rendah, jika penjagaan berterusan, hasil akan dinikmati dalam masa 2-4 bulan. Bolehlah nak tampung sedikit perbelanjaan kebun.

Bab rumah singgah, kayu sudah ada. Paku boleh disediakan. Tapi kepakaran untuk membina pula agak terhad. Abg Chop boleh buat, tak larat la nak buat sorang-sorang. Aku akan turut menolong, tapi bukan tenaga mahirlah, tenaga nasional pun bukan. Pak Yob pun mungkin akan bersama-sama. Aku rancang nak buat rangka kotak guna kayu, bolt and nat sahaja, kemudian simen lantai sekali dengan beam kayu kat bawah, kalau ok, aku pun tak pandai, susah nak cakap. Apa pun ceritanya, rumah tu mesti kena bagi siap sebelum hujung bulan September, InsyaAllah.

Semoga Allah memandaikan kita dalam menguruskan alam Dia sebaik mungkin. Kami hanya mampu memohon dan berdoa, Engkau sahaja tempat kami minta tolong. Pandaikan kami, lapangkan dada kami, teguhkanlah hati-hati kami, permudahkanlah jalan untuk kami. Amin.

Alhamdulillah.

 

Leave a comment