Mengapa Berkebun

Assalamualaikum

Aku bukan orang yang minat berkebun. Tapi sekarang, aku rasa berkebun telah mula menjadi keperluan berbanding minat. Orang tua-tua kita dulu pun berkebun bukan kerana minat, tetapi keperluan.

Sebelum kita lanjutkan, mari tengok apa yang dimaksudkan dengan berkebun? Apa yang kita faham? Pada aku, berkebun memberi makna apa sahaja aktiviti yang melibatkan bercucuk tanam, menternak haiwan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan tanah dalam ruang lingkup pertanian. Kalau gali kubur pun melibatkan tanah juga, itu bukan berkebun, itu berkubur. 😀

Perkataan berkebun (gardening) lebih menunjukkan pertanian dalam skala kecil, seperti berkebun belakang rumah. Selalunya menternak haiwan tidak termasuk dalam kategori berkebun. Namun, aku meletakkan penternakan dalam kategori berkebun kerana saling kaitan antara keduanya yang sangat rapat, terutama apabila kita mengusahakan kebun secara organik atau asli.

Dalam masyarakat kita, berkebun adalah aktiviti bercucuk tanam yang melibatkan sayur-sayuran dan pokok bunga di sekitar rumah. Di sebelah utara Semenanjung Malaysia, berkebun juga merujuk kepada mengusahakan dusun buah-buahan.

Pendek kata, apa sahaja pemahaman kita tentang berkebun, tiada siapa yang mampu menafikan manfaat dan kebaikan berkebun. Secara kasarnya kita boleh melihat kebaikan berkebun seperti yang di ceritakan oleh  GroEdibles Blog. Ia menunjukkan gambaran mengapa berkebun bagus. LaterLife juga menceritakan perkara yang sama, begitu juga Intisari.

Kalau kita nak melihat sendiri keghairahan orang berkebun, boleh juga tengok blog bang chik dan kak dah. Semangat betul.

Mengapa berkebun menjadi keperluan? Apakah keperluan? Keperluan adalah perkara yang tidak boleh tidak ada, mesti ada.

Secara asasnya, keperluan manusia itu 3 perkara;

  1. Makanan
  2. Pakaian
  3. Tempat tinggal

Zaman sekarang, kita boleh dapat keperluan asas, terutama MAKANAN di mana-mana. Sehingga ke satu tahap, kebergantungan kita kepada sistem keperluan asas itu menjadi terlalu tinggi. Sehingga ke satu tahap lagi, tanpa sistem tersebut, kita akan terumbang ambing dan kemungkinan untuk putus keperluan asas adalah tinggi. Dengan kebergantungan yang tinggi ini menyebabkan manipulasi boleh berlaku, kegiatan mencari untung tinggi boleh berlaku dan penggunaan bahan-bahan terlarang akan turut meningkat.

Persoalannya, adakah tanpa ke kedai makan atau ke pasar, kita boleh mendapat makanan? 15 ke 20 tahun dahulu, masih boleh, sekarang?

Dalam kita berkebun, kalau pun tak dapat untung jutaan ringgit, boleh jimatkan duit dapur pun satu kelebihan. Berkebun di keliling rumah, jimat sikit perbelanjaan ke pasar.

Selain itu, banyak teknik berkebun sekarang yang boleh kita lakukan tanpa perlu belanja besar. Banyak juga teknik yang lebih semula jadi yang boleh menjamin hasil pertanian kita tidak dicemari racun serangga.

Dalam makanan kita terutama yang diproses, terdapat banyak bahan-bahan kimia yang membahayakan. Kita telah sampai satu tahap di mana kita tidak mampu untuk mengelakkan makanan-makanan ini. Jadi dengan berkebun, mungkin kita akan mampu mengurangkan kebergantungan itu, tidak banyak, tetapi berbaloi. Sekurang-kurangnya, bukan semua makanan kita, kita beli.

Keperluan yang paling mendesak merangkumi 3 perkara:

  1. Kejaminan makanan. – menjamin bekalan (kalau kedai tutup pun, boleh masak lagi)
  2. Kedaulatan makanan. – menjamin mutu semulajadi (kita nak makan ayam, bukan ayam suntik)
  3. Keselamatan makanan. – menjamin mutu kesucian dari unsur-unsur toksik

Kalau nak tengok, boleh rujuk di sini, Pencemaran Makanan oleh DRA Nurmain dari Universitas Utara Sumatera.

Setakat ini dahulu. Semua yang aku senaraikan, sebenarnya sudah cukup alasan untuk aku mula berkebun. Kita akan berbeza pendapat tentang kepentingan dan keperluan berkebun, tapi kita tak mungkin berbeza pendapat tentang hasilan berkebun. Kan!

2 thoughts on “Mengapa Berkebun

    • ummaidan,

      Terima kasih atas pandangan.

      Dalam coretan tu, saya cuma nak cari alasan untuk saya berkebun, maklumlah, orang yang ‘tangan tak hidup’.

      Tapi dalam mencari kehidupan, sistem yang Allah dah siapkan dalam alam ni memang yang terbaik. Pada pandangan saya, bila kita jarang fikirkan ‘outcome’ tak bermakna tiada ‘outcome’. Cuma melaksanakan apa yang terbaik kadang membuat kita asyik, benda baik lagipun kan? Apa yang saya belajar dari berkebun ni, walau kebun belum ada hasilan, apa saja sistem atas muka bumi ni, kalau tak ikut kata/sistem/aturan Allah, pasti ada ‘hiccup’ dan pengakhiran yang tidak baik. Kita buat saja apa yang termampu kan. Alhamdulillah.

Leave a comment