PRINSIPAL

PRINSIPAL

KEMBALI KEPADA FITRAH

[Adzaariyat: 56] Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

[Ar-Rum:30] Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

Berdasarkan ayat Adzaariyat, 56 di atas, tujuan hidup adalah mengabdi diri kepada Allah. Manakala dalam ayat 30, Surah Ar-Rum Allah menetapkan pengabdian mestilah lurus mengikut fitrah yang telah ditentukanNYA.

Secara fitrahnya, manusia memerlukan 3 keperluan asas. Jadi secara prinsipalnya kebun ini bertujuan untuk memenuhi ketiga-tiga keperluan asas itu sebagai satu rangka ibadah kepada Allah mengikut fitrah yang telah Allah tentukan.

Selain itu, setelah meneliti sistem-sistem pertanian yang ada, kami mendapati bahawa sistem pertanian berasaskan organik dengan teknik pertanian natural adalah yang paling dekat dengan FITRAH Allah atas banyak faktor. Dengan itu kami mengambil sistem dan teknik ini sebagai ASAS dalam kebun kami. Sebagai memenuhi sistem ini, kami juga perlu memahami fitrah alam secara seluruhnya:


FITRAH

KEPERLUAN ASAS MANUSIA

Secara asasnya setiap manusia perlu memenuhi ketiga-tiga faktor di atas sebelum ia pergi kepada keperluan-keperluan lain yang bersifat sekunder. Dalam zaman hari ini, makanan masih boleh dihasilkan sendiri. Ini yang akan kita laksanakan. Namun, pakaian dan tempat tinggal memerlukan sedikit dana dalam bentuk wang. Jadi untuk memenuhi ketiga-tiga keperluan asas ini, perniagaan harus dijalankan.

 Perniagaan

Pernigaan adalah mengikut keadaan setempat. Asas kepada perniagaan adalah akad, penjual, pembeli dan saksi. Dalam perniagaan, kita sangat bergantung kepada situasi bekalan dan permintaan. Daripada aspek kualiti pula, ia menjadi keutamaan kami atas dasar fitrah di atas; ia memang keperluan manusia, jadi perlulah disediakan sebaik mungkin.

Pemasaran dan jualan pula akan menjadi penentu keberhasilan kebun. Keberhasilan kebun akan mempengaruhi keperluan asas dan keperluan sekunder yang lain. Demi untuk mencapai keperluan fitrah kita, hasilan kebun haruslah mencapai sasaran keuntungan yang disasarkan berdasarkan aktiviti tanaman dan ternakan yang dijalankan.

FITRAH TUMBUHAN

Memahami fitrah tumbuhan akan memudahkan kita menguruskan tanaman. Secara asasnya tumbuhan memerlukan air, matahari dan baja untuk berkembang dan memberi hasil. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, pengurusan air dan baja haruslah optimum. Lokasi tanaman juga mesti dititikberatkan untuk mendapat pencahayaan matahari yang optimum juga.

Secara fitrahnya, tumbuh-tumbuhan ini telah lama hidup di dalam hutan tanpa ada sesiapa yang menanamnya. Ini bermakna, air dan baja pastilah tidak menjadi masalah bagi mereka. Melihat kepada keadaan ini, kami akan melaksanakan penanaman dengan meniru konsep hutan tersebut, dengan sedikit penambahan; kami akan mengaturselia pengairan dan pembajaan. Pembajaan pula akan dihasilkan sendiri menggunakan kaedah penghasilan baja organik.

FITRAH HAIWAN

Haiwan memerlukan makanan, ruang sempadan untuk bergerak dan tempat untuk tidur/berehat. Mengatur selia ternakan memerlukan ruang; bergantung kepada kuantiti dan jenis ternakan.

Dari segi pemakanan, kami memlilih untuk membiakkan pokok rumput gajah secara organik, menghasilkan pelet sendiri secara organik dan juga memberi minum dari air yang disediakan secara organik. Kaedah memberi makan, kami akan menggunakan sistem sendiri cari, sendiri makan. Untuk melaksanakan sistem ini, keadaan ruang akan di susun atur dengan sistem perpaipan, kawasan merumput berpagar rendah, garam tergantung dan kawasan berteduh dengan kemudahan pengasapan. Kami memilih untuk membiarkan ternakan melakukan apa yang dikehendaki selagi ia dalam kawasan yang disediakan. Kes-kes khas seperti sakit dan lain-lain akan ditangani secara khusus.

FITRAH ALAM

 Fitrah ALAM meliputi keseluruhan proses dan kejadian dalam alam ini, dari muka bumi, dalam bumi hinggalah ke angkasa raya.

Fitrah alam ini mengikut aturan yang tetap dan tidak berubah. Ia berlaku apabila berlaku proses yang perlu berlaku sebelumnya dan proses ini bersambungan seperti rantaian.

Melihat lebih dekat, fitrah alam pasti akan melibatkan 3 perkara; air, udara dan tanah. Pengurusan air dan tanah yang baik akan menghasilkan udara yang baik. Pengurusan air dan tanah yang baik akan memberi hasil pertanian dan penternakan yang baik. Pengurusan air dan tanah yang TERBAIK adalah mengikut fitrah air dan tanah sendiri.

Dalam air, terlarut banyak zat dan akar pokok akan menyerap zat-zat tertersebut, begitu juga haiwan ternakan akan meminumnya. Zat-zat ini kami akan sediakan menggunakan kaedah baja organik dan kompos.

Dalam pengurusan tanah pula, kami akan memastikan penanaman dan penternakan tidak akan mengganggu kitaran yang seterusnya. Untuk mendapat keadaan ideal begitu, kami akan mengikut kaedah pengurusan secara natural atau asli, sebagaimana yang pernah dijalankan oleh petani-petani nomad suatu ketika dahulu tetapi tanpa perlu berpindah randah.

Fitrah alam ini, semuanya datang dari tanah dan kembali kepada tanah. Jadi, pengurusan tanah amat penting. Kepentingan itu lebih besar lagi apabila ia melibatkan jangka masa yang panjang. Seperti kita cakap di awal tadi, kepentingan aktiviti pertanian ini untuk menyediakan keperluan asas fitrah manusia, jadi ia perlu berlanjutan. Untuk mendapatkan kelangsungan, tanah perlu diurus supaya sentiasa subur dengan natural. Penggunaan baja kimia, racun serangga kimia dan racun rumpai hanya akan merosakkan tanah, merosakkan air dalam tanah seterusnya bahan-bahan kimia akan meresap ke dalam tanaman dan ternakan. Dihujung rantaian itu, tanaman dan ternakan itu pula akan menjadi makanan kita.

Leave a comment